BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung
wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70
kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut,
nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi
oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib,
manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia
tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat
Izrail.
Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang
masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa,
seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan
dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah
seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak
memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan
sebaliknya banyak pula melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya:
Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka
bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang
merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang
gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya
aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah
Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih
berseronok-seronok dan bergelak ketawa.
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa
diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang
soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini
tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran
malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti
hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai
perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal
mati dan hubungannya dengan malaikat maut.
Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang
nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat
maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam
ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk
yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai
kematian dengan berbagai tanggapan.
menganggapkematian itu adalah suatu tabie biasa
sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang
pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab
yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak
kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti
diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti
banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan
samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan
jalan raya.
Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan
oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit
barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan
sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya
dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia
sering mengaitkan kematian itu dengan
kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku
kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya,
sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau
kemalangankah?.
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu
dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada
saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat
maut sentiasa berligar di sekeliling manusia,
mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh
hayatnya sudah tamat.
Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah
SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya
untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh
orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika
Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku
kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka
Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian
tersebut.
Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun
orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai
kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya
tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau
mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka
kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.
Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan
berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu
ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang
ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan
menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar,
kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan
manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan
menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat
sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan
kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah
bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang
muflis di akhirat kelak.
Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan
kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi
peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya
mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari
berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan
meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal
datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan
yang tidak berguna.
Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang
ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa
Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya
bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh
dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih
dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap
dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran
terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat
orang yang tidak menyedari adanya bahaya di
hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya
dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.
Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab
kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat
maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a
dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain
menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila
dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk
bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu
termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih
Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan
orang-orang solihin.
Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan
betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam
a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan
mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan
berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan
orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.
Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan
berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui
oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu
akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan
sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila
berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu
itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana
mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan
malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.
Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia
tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran
malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT
pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu
bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah
tiba.
Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan
Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya
adalah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian
pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah
tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti
yang diamanahkan kepadanya.
Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala
untuk menentukan kematian seseorang itu samada
bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan
pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat
maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia
yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan
seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa
hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa
kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang
yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan
segar-bugar
Saturday, April 26, 2008
TEMAN SEJATI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment